Isham Jalil

PASIR GUDANG – Pakatan Harapan (PH) didakwa sedang mencari-cari isu yang boleh menampakkan kelemahan Barisan Nasional bagi menutup kelemahan-kelemahan mereka semasa menjadi kerajaan yang gagal.

Disebabkan sudah tiada modal, pembangkang cuba membesar-besarkan isu projek kapal tempur persisir (LCS).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, tindakan PH itu semata-mara mahu mencetuskan kemarahan rakyat sekali gus membenci dan menolak Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, katanya, rakyat sudah ‘masak’ dengan taktik PH.

Malah, rakyat juga masih ingat dengan penipuan-penipuan yang PH lakukan termasuk tidak menunaikan janji dalam manifesto, lebih teruk lagi meranapkan ekonomi dan mengkhianati rakyat dengan melompat parti.

””Ini tiga perkara yang rakyat ingat sampai sekarang.

“Sebab itu, PH kalah dalam beberapa pilihan raya termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Johor,” katanya

“Rakyat sudah tahu taktik mereka. Rakyat juga masih ingat penipuan-penipuan yang mereka lakukan, tidak menunaikan janji dalam manifesto, meranapkan ekonomi dan mengkhianati rakyat dengan melompat parti.

“Ini tiga perkara yang rakyat ingat sampai sekarang,” katanya ketika ditemui dalam program ceramah Cabaran dan Peluang Barisan Nasional Di Bandar di Dewan Taman Molek di sini malam tadi.

Pada 9 Julai lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, isu penyelewengan projek LCS itu akan menjadi ‘ribut’ yang membadai dan menumbangkan BN pada PRU15 nanti.

Mengulas lanjut, Isham berkata, keputusan melengah-lengahkan PRU15 hanya akan memberi peluang kepada pembangkang untuk terus memainkan isu dan BN tidak boleh hanya terus menjadi defensif.

BN kini mempunyai kelebihan serta momentum yang bagus jika PRU15 diadakan segera tetapi pada masa sama tidak menafikan mungkin ada isu dimainkan pembangkang akan mempengaruhi keputusan PRU15 jika tidak ditangani dengan baik.

Namun, katanya, kegagalan kerajaan PH dan juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara ketika tempoh pandemik Covid-19 dilihat akan memberi kelebihan kepada BN.

Faktor berkenaan cukup kuat momentumnya terutama membabitkan pengundi di kawasan bandar berbanding pengundi di kawasan luar bandar.

Ini kerana masyarakat di bandar lebih terkesan akibat kegagalan kerajaan mengawal ekonomi dan pentadbiran negara berbanding masyarakat di kawasan luar bandar.

“Ketika pandemik Covid-19 lalu, individu yang paling terjejas adalah penduduk di kawasan bandar, yang mana majoriti yang kehilangan kerja dan mereka juga yang terputus pendapatan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast