Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram menerima simbolik kunci kenderaan Kia sebagai jalinan kerjasama strategik antara FAM dan Kia dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara hari ini. Ihsan FAMKelana Jaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini menjalinkan kerjasama strategik dengan Kia menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto).

Kerjasama terbabit diyakini meraih faedah terutama untuk pasukan kebangsaan yang diketuai Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk melakukan pemerhatian pemain-pemainnya di seluruh negara selain melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, kerjasama bersama DJM bermula sejak kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana,” kata beliau menerusi kenyataan, hari ini.

Hamidin berkata, menerusi jalinan kerjasama bersama DJM juga  dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Menurut beliau, kerjasama strategik bersama DJM akan menyaksikan tiga unit kenderaan utiliti besar (GUV) model terbaharu Kia iaitu Kia Karnival 2022 digunakan oleh FAM serta skuad Harimau Malaya.

Majlis penyerahan kenderaan Kia menerusi syarikat pengedarnya itu berlangsung di Pusat 3S Kia Flagship yang baharu di Glenmarie, Shah Alam petang tadi.

Ia dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta barisan Exco FAM, Datuk Sri Shahril Mokhtar, Syed Yazid Syed Omar dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar serta Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersama barisan kejurulatihannya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata, DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia yang mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara. – MalaysiaGazette