Bekas Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Malaysia Best Business Award 2022 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Golongan usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu bangkit untuk menyelamatkan perniagaan yang dibina dengan titik peluh mereka selama ini.

Ini kerana, terdapat banyak peluang untuk mereka kembali meneruskan perniagaan dengan mendapatkan suntikan dana yang disediakan oleh kerajaan menerusi agensi-agensi tertentu, kata Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, golongan usahawan perlu membina kekuatan meskipun perniagaan mereka telah jatuh akibat krisis yang dialami.

“Kadang-kadang usahawan ni mereka tidak mendapat maklumat dari agensi-agensi kerajaan dimana kalau kita lihat terdapat suntikan-suntikan dana untuk membantu mereka melastarikan perniagaan dalam masa kita menghadapi pandemik.

“Jadinya, kalau mereka itu tidak dibantu oleh sebab kegawatan saya berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan dengan mendekati mereka dengan
mengadakan program-program atau forum-forum tertentu supaya mereka dapat maklumat yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Khas Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA 2022), di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.

Mohd Redzuan yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkata, berdasarkan pengamatannya ketika menjadi menteri sebelum ini, terdapat banyak saluran di kementerian itu yang boleh membantu usahawan dari mula meraka hendak memulakan perniagaan sehingga mereka berdepan dengan krisis.

Ujarnya, terdapat ramai usahawan sebenarnya yang menghadapi masalah, kesusahan dan kesukaran dalam perniagaan dan mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain namun, kerajaan sebenarnya mempunyai cara penyelesaian untuk membawa mereka keluar dari segala yang dialami.

“Siapa rasa dia ada kekuatan dan mahu bangkit semula…saya sarankan mereka kena ada hubungan dengan agensi dan kementerian tertentu

“Kalau susah pun saya bersedia untuk membantu, sebab peluang itu amat luas,” ujarnya. – MalaysiaGazette