Gambar hiasan: Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Polis akan menutup sebanyak 18 jalan di ibu negara bagi memberi ruang kepada perarakan sempena perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan ke-65  di Dataran Merdeka bermula Jumaat ini sehingga 31 Ogos depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dalam kenyataannya berkata, dua jalan utama yang akan ditutup melibatkan Jalan Sultan Hishammuddin menuju ke Dataran Merdeka dan Jalan Raja (Dataran Merdeka) di sini bagi membuka ruang kepada acara raptai.

Manakala pada 27 Ogos ini pula, sebanyak tujuh jalan lagi akan ditutup kepada kenderaan awam iaitu Jalan Raja; Jalan Travers; Jalan Damansara; Jalan Damansara (arah ke Bangsar); Bulatan Hishammuddin; Jalan Kinabalu (arah Selayang) dan Jalan Kinabalu (arah Cheras) bertujuan untuk memberi ruang kepada sesi raptai penuh.

Sebanyak 18 jalan lagi turut ditutup pada Hari Merdeka pada 31 Ogos ini iaitu Jalan Travers; Jalan Damansara; Jalan Damansara (arah ke Bangsar); Bulatan Hishammuddin; Jalan Kinabalu (arah Selayang); Jalan Kinabalu (arah Cheras); Jalan Kinabalu (Bulatan Dato Onn); Jalan Kuching dan Bulatan Dato Onn (dari Jalan Parlimen).

Selain itu penutupan turut melibatkan Bulatan Dato Onn (dari Jalan Sultan Salahuddin Bank Negara); Jalan Tun H S Lee; Jalan Hang Lekiu; Jalan Hang Kasturi; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Raja Laut; Jalan Munshi Abdullah; Jalan Dang Wangi dan Jalan Bunus 6.

Beliau menasihati warga kota yang mahu menyaksikan perbarisan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Dataran Merdeka bagi mengelak kesesakan.

“Warga Kota yang membawa kenderaan persendirian boleh meletakkan kereta mereka di sekitar Masjid India (parkir awam di sekitar Jalan Munshi Abdullah) parkir awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar Jalan Sultan Salahudddin dan parkir awam di hadapan Bukit Aman,” katanya.

“Pemandu kenderaan e-hailing pula dinasihati agar menurunkan penumpang masing-masing di sekitar Masjid India dan Jalan Parlimen,” ujarnya.

Jika ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau melayari Facebook JSPT Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berkaitan. – MalaysiaGazette