khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta sesiapa sahaja yang dituduh di mahkamah berhak mendapat pembelaan sewajarnya dan semaksimumnya bagi mempertahankan diri daripada tuduhan agar mahkamah tidak tersilap menghukum seseorang yang tidak bersalah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hak mendapatkan pembelaan tersebut adalah berasaskan kaedah perundangan Islam dan keadilan kemanusiaan.

Beliau menambah, membiarkan tertuduh dihukum dan diadili oleh media juga adalah tidak adil dan zalim kepada tertuduh.

“Pemberitaan demi pemberitaan berasaskan fakta yang dibentang oleh pendakwa membawa masyarakat awam menjadi hakim sebelum hakim membuat keputusan.

“Itulah adalah satu kezaliman terhadap hak dan maruah tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Mohd. Khairuddin turut mengingatkan bahawa Najib dan Ahmad Zahid adalah bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang yang berjasa terhadap negara.

Menurut beliau, mereka berdua berhak untuk mempertahankan diri semaksimumnya dan masyarakat tidak berhak menghukum sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Tulisan ini bertujuan mempertahankan hak golongan yang tertuduh dalam Islam, siapa pun dia dan apa statusnya dalam masyarakat agar tidak dizalimi oleh masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast