Puad Zarkashi Muhyiddin Yassin letter of demand three-day quarantine minister double standard UMNO Supreme Council Member Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi defy UMNO decision
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Politik ‘Ayuh Malaysia’ ciptaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa tidak bermoral kerana tujuannya hanya mencari kesalahan pihak lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menempelak Rafizi yang hanya berdiam diri apabila kesalahan melibatkan pemimpin partinya sendiri termasuk seorang bekas menteri Kabinet yang meninggalkan PKR kerana dikatakan takut didakwa dengan tuduhan rasuah.

Beliau turut mempersoalkan siapakah Zainab Mohd. Salleh yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menafikan wanita tersebut isterinya.

“Inilah musibah ‘trak datang lagi’ tajaan Rafizi. Wan Saiful Wan Jan kenapa senyap? Patut dia membela Abd Latiff. Abd Latiff menteri Bersatu. Patut dia juga bawa trak pertahankan Abd Latiff,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Mohd. Puad menyifatkan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sahaja kerana kedua-dua parti itu menggunakan fitnah dan persepsi untuk memenangi pilihan raya umum.

Semalam, Rafizi dalam pendedahannya mendakwa Zainab yang memegang saham dalam Alizes Marine Limited adalah isteri Abdul Latiff namun tuduhan tersebut dinafikan oleh Ahli Parlimen Mersing itu.

Selain itu, Dialog Group tampil menjelaskan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Setiausaha Syarikat Bersama, Zainab juga bukan pemegang saham Alizes Marine Limited.

Syarikat itu menyatakan, Zainab merupakan isteri Pakar Perunding Ginekologi-Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Noor Azmi Mat Adenan. – MalaysiaGazette