KAJANG – Polis Kajang hari ini telah melupuskan barang rampasan kes bernilai RM 2.83 juta membabitkan Op Kontraban, Op Dadu dan Op Letrik bagi tempoh 2018 hingga 2022.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, menerusi tiga operasi tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya menyelesaikan sebanyak 170 kertas siasatan.
“Hari ini, barang kes Op Dadu (perjudian) yang berjumlah 2,386 buah set komputer dan laptop dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM 477,500 manakala Op Kontraban (rokok/minuman keras tidak bercukai) melibatkan rampasan 12,121 tin minuman keras, 512 botol arak dan 15,556 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan sebanyak RM 1,600,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Upacara Pelupusan Barang Kes IPD Kajang di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini dengan dihadiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman.
Menurut Mohd Zaid, barang kes yang dilupuskan pada pagi tadi melibatkan 170 kertas siasatan yang telah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya serta kelulusan Mahkamah Kajang di bawah Seksyen 406 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kesemua barang kes telah dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi dan pepejal mengikut kaedah SOP yang ditetapkan.
“Polis pada masa yang sama ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan kegiatan jenayah yang melibatkan elemen kontraban, aktiviti perjudian dan kegiatan melombong mesin bitcoin yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette