Penggunaan produk kecantikan ini diharamkan KKM.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam elak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Momila Beauty Whitening Cream kerana mengandungi merkuri.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf dan boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast