Sebahagian pengamal media yang hadir untuk membuat liputan perjalanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah atas kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Penajara Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 OGOS 2022

SUNGAI BULOH – Penjara Sungai Buloh yang pernah menempatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tirai besi sekali lagi menjadi tumpuan media hari ini.

Tumpuan kali ini ia bakal menjadi tempat kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman.

Setakat pukul 12 tengahari, keadaan pintu masuk utama penjara tersebut tenang dan hanya kelibat wakil media sahaja yang dilihat bagi menanti kehadiran Najib yang dijangka dihantar ke sini pada bila-bila masa.

Sesekali muncul kenderaan awam yang berhenti dan mendaftar di bilik pengawal dipercayai mempunyai urusan dengan pihak penjara.

Setakat ini, belum diketahui bila Ahli Parlimen Pekan itu akan dihantar ke sini dari Penjara Kajang.

Menurut sumber, Najib akan diambil menggunakan kenderaan dari Penjara Sungai Buloh dan paling lewat kenderaan itu bergerak keluar pukul 5 petang.

Katanya, tidak mungkin akan ada pergerakan pada waktu malam dan ia hanya menggunakan masa waktu pejabat sahaja.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa semalam.

Difahamkan, Najib dihantar terlebih dahulu ke Penjara Kajang untuk menjalani kuarantin.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang semalam menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada ahli keluarga Najib ke Penjara Kajang setakat ini