Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL,25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Najib Razak satu-satunya Facebook yang paling ramai pengikut dalam kalangan pemimpin politik di Malaysia terus menjadi tumpuan walaupun susuk tubuh bekas Perdana Menteri keenam itu telah dipenjarakan.

Dengan 4.6 juta pengikut, hantaran terbaharu di Facebook rasmi Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima 36,000 reaksi dalam tempoh kurang empat jam.

Malah hantaran yang telah menyiarkan ‘Pernyataan Datuk Seri Najib Razak Kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022’ itu telah menerima lebih 7,000 komen dan 2,000 perkongsian dalam tempoh yang singkat.

Pernyataan penuh yang dikongsi di Facebook itu telah dibaca oleh Najib di hadapan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun pada Selasa lalu.

Dalam pernyataan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Najib menyatakan, sepanjang minggu lalu dia telah melihat dari kandang tertuduh betapa peluangnya dalam rayuan di mahkamah pudar perlahan-lahan.

“Walaupun Mahkamah Yang Mulia ini tidak membenarkan peguam saya menarik diri, pada hakikatnya saya memang tidak diwakili.

“Saya percaya bahawa tidak pernah ada satu peristiwa pun dalam sejarah perundangan Malaysia di mana peguam dalam perbicaraan jenayah atau rayuan telah dihalang daripada menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam apa keadaan pun,” kata Najib dalam pernyataan tersebut.

Dalam pernyataan itu, Najib juga berkata, sebagai tertuduh dan perayu di akhir perbicaraan tersebut, beliau merasakan seluruh kuasa perundangan negara digunakan terhadap dirinya secara tidak adil dan berat sebelah.

Selain itu beliau turut menyentuh penolakan mahkamah untuk dirinya menggunakan khidmat Jonathan Laidlaw QC untuk bekerjasama dengan Shafee & Co.

Najib juga menyatakan kesal dengan tindakan Ketua Hakim Negara sebelum ini iaitu Tun Richard Malanjum yang meneruskan rayuan SRC pra-perbicaraan tanpa sebarang Rekod Rayuan disediakan.

Najib berkata, beliau menjadi amat terkejut apabila selepas Richard bersara beliau telah menjadi ahli parti lawan iaitu Pakatan Harapan dan berkempen untuk mereka.

“Yang Arif, situasi begini membuatkan saya tidak selesa. Sejak awal pertuduhan, saya ragu-ragu sama ada akan dapat peluang yang adil,” jelas Najib.

Sementara itu pengikut Facebook Najib Razak terus menulis komen-komen untuk menaikkan semangat bekas Perdana Menteri itu walaupun menyedari bahawa Najib tidak mungkin dapat membacanya.

“Walaupun panjang saya baca posting datuk seri sampai habis. Saya faham apa yang telah terjadi dalam kes datuk seri. Semoga Allah sentiasa melindungi dan permudah segala urusan datuk seri,” kata Ida Mocnaq II.

“Datuk seri, kami sentiasa bersamamu,” komen ringkas Vasu Subramaniam.

“Datuk seri, kami sentiasa mendoakan keadilan buat datuk seri. Semoga Allah permudah segala urusan kerana segala-gala milikNya,” tulis Muhammad Kamal Ariffin Mustafa.

“Kami tiada kuasa datuk. Tapi kami ada kuasa berdoa pada yang maha berkuasa. Semoga diberi keadilan buat datuk. Insya-Allah,” kata El Fira. – MalaysiaGazette