Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang pada asalnya dijadualkan pada bulan November telah dipercepatkan ke 7 Oktober.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesahkan perkara itu berkata, Belanjawan 2022 berlangsung pada sesi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14.

Mesyuarat tersebut akan bermula pada 3 Oktober 2022 dan telah dipersetujui Jemaah Menteri.

“Takwim baharu yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal,” katanya dalam satu kenyataan.

Takwim sebelum ini bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 iaitu selama 31 hari bagi Dewan Rakyat.

Manakala bagi Dewan Negara berlangsung pada 8 hingga 22 Disember 2022 iaitu selama 9 hari.

Menurut Wan Junaidi, perubahan tersebut dibuat berikutan terdapat keperluan untuk Kerajaan meminda takwim Mesyuarat Ketiga bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan.

“Selain itu, ia bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan
Tambahan 2022 dan RUU Tanggungjawab Fiskal dibentangkan sebaik RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengenakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara untuk meminda tarikh tersebut. – MalaysiaGazette