SERDANG – Perikatan Nasional (PN) sebagai parti ‘anak jantan’ bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin berkata, mengikut perjanjian yang ditandatangani antara PN dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuat rundingan sebelum membubarkan Parlimen.
Ini kerana PN adalah adalah sebahagian daripada kerajaan yang wujud ketika ini.
“Tak tahu lah saya sama ada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu.
“Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihanraya ini.
“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang!” kata Muhyiddin dalam ucapan perasmian Konvensyen PN 2022 di sini hari ini.
Turut dihadir Presiden Gerakan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Presiden StarSabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan dengan segera menandakan parti itu bukan kuat seperti yang digambarkan.
“Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan.
“Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka itu taklah kuat sangat,” kata Muhyiddin kata Muhyiddin.
Muhyiddin mendakwa, hasil laporan yang diperolehinya menunjukkan BN tidak mendapat kepercayaan rakyat.
Presiden Bersatu itu menengaskan, baginya, tidak ada beza sama ada PRU diadakan tahun ini atau tahun depan ini kerana beliau yakin BN akan kalah.
“Kita juga dapat laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot. Apatah lagi tujuan desakan supaya pilihanraya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.
“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi samada pilihanraya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama sahaja.
“Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah Perikatan Nasional,” katanya.
Muhyiddin serentak itu meminta supaya semua pemimpin, ahli dan penyokong PN untuk berada dalam kesataun dan tindakan.
Kesatuan tersebut telahpun ditunjukkan dalam pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor sebelum ini.-MalaysiaGazette