KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pada masa sama, baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun hari ini. – MalaysiaGazette