KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah merangkul gelaran dunia hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu merupakan sejarah baharu buat sukan badminton negara dan ia merupakan hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022.

“Satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara!

“Tahniah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kerana muncul sebagai pemain badminton negara yang pertama memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2022.

“Ini merupakan hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022,” tulisnya di hantaran Facebook miliknya.

Aaron dan Wooi Yik bergelar juara dunia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, sebentar tadi.

Pada saingan sengit di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, wakil negara yang juga pilihan keenam kejohanan menang 21-19, 21-14 dalam masa 40 minit. – MalaysiaGazette