Pertemuan Onn Hafiz Ghazi bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 51,944 kekosongan jawatan yang perlu diisi di Johor, yang mana jumlah ini melebihi daripada 34,278 orang yang mencari kerja.

Perbezaan jumlah kekosongan jawatan dan pencari kerja ini berlaku kemungkinan terdapat banyak ketidakpadanan dalam permintaan pekerjaan.

Oleh itu, kerajaan negeri sedang meneliti isu ini dan akan melibatkan kesemua pemegang taruh dalam satu sesi libat urus mendapatkan penyelesaiannya, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, selain memberikan keyakinan lebih kepada para pelabur, rakyat Johor juga boleh memanfaatkan peluang pekerjaan yang dikenalpasti, terutamanya dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan.

”Terdapat juga cadangan agar pusat-pusat khidmat dalam negeri ini dijadikan ‘satellite center’ Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

”Pusat ini akan menjadi tempat sehenti di mana para majikan boleh melakukan temu duga dan suai kenal dengan tenaga kerja yang berpotensi,” katanya dalam satu kenyataan dalam hantaran di Facebooknya.

Terdahulu beliau ada pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan berbincang mengenai kebajikan pekerja dan peluang pekerjaan di Johor.

Dalam isu yang sama, beliau berkata, hampir 34,806 orang pekerja yang bekerja sendiri telah berdaftar dalam skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (KSPS) di Johor.

Paling ramai berdaftar adalah dari sektor perkhidmatan sokongan, pengangkutan penumpang serta pengangkutan barang dan makanan.

Onn Hafiz berkata, suri rumah tangga yang turut menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

Di Johor sahaja, terdapat 278,000 suri rumah pada masa ini sama ada terpaksa berhenti kerja atau sebaliknya, kesemua mereka layak dilindungi di bawah Perlindungan Keselamatan Sosial Suri Rumah.

”Ini dapat merapatkan lagi jurang perlindungan sosial serta menjaga kesejahteraan mereka, terutamanya dalam masa-masa tidak menentu seperti pandemik.

”Pada masa sama, terdapat lebih kurang 419,500 wanita bekerja yang juga berpotensi untuk menjadi suri rumah sepenuh masa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette