Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan eletrik negara sebagai usaha merancakkan komitmen dalam peralihan tenaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara pelaksanaan program itu adalah meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar dan kuota baharu.

Katanya, ia akan didiagihkan menerusi pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.

“Penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya.

“…dan penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota
600MW,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,; Menteri sains Teknologi dan Inovasi, Datyuk Seri Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber asli, Datuk Ali Biju.

Perdana Menteri berkata, dengan persetujuan itu, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara.

Tambahnya, turut dilaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekaligus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca, katanya.

Menurut Perdana Menteri, turut dilakukan adalah membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi.

Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC, ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan juga mahu menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

“Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan
teratur mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast