Nasir (Kiri) bersama Khairul (tengah) ketika menziarahi dan menyampaikan bantuan kilat kepada Ezwan yang mengalami kemalangan ditempat kerja disebabkan tong pemadam api meletup.

JOHOR BAHRU – Hati mana yang tidak luluh apabila dilahirkan sempurna namun selepas 42 tahun, tangan kanannya terpaksa dipotong hingga ke pergelangan ekoran kemalangan di tempat kerja.

Menceritakan detik itu Ezwan  Othman berkata, kemalangan itu berlaku  pada 23 Ogos lalu, ketika dia sedang menyelenggara alat pemadam api di stor tempat kerja di Jalan. Bakawali, Taman Johor Jaya di sini sebelum alat berkenaan meletup secara tiba-tiba.

”Saya melakukan kerja menyelenggara alat pemadam api sejak tempoh lebih setahun dan tidak mengalami sebarang permasalahan sebelum ini.

“Saya tidak pasti berlaku kesilapan di mana kerana kejadian terlalu pantas. Apa yang saya ingat waktu itu ada beberapa tong yang saya selenggara.

“Waktu tong terakhir, pada asalnya saya lihat meter tak naik,kemudian kali kedua apabila saya cuba untuk pegang tong berkenaan dan nak tutup fius tiba-tiba tong tu meletup dan saya terpelanting,” ceritanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Saujana di sini.

Saat itu, ujar Ezwan, dia nampak jari-jari semua sudah tiada dan waktu itu ada beberapa orang pekerja bersebelahan premis tempat saya bekerja mengangkat saya dan tolong balut tangan saya yang penuh darah.

“Tahu-tahu saya sudah di Hospital  Sultan Ismail (HSI) dan  waktu itu doktor beritahu bahawa tangan saya terpaksa dipotong kerana semua urat saraf telah rosak dan tidak boleh disambung semula.

“Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang mengetahui kebimbangan saya memikirkan masa depan anak dan isteri serta ibu yang sudah dimamah usia,” katanya lagi.

Buat masa ini  Ezwan masih trauma dengan kejadian letupan tersebut namun berusaha untuk bangkit semula.

Jelasnya, kehidupannya dan keluarga perlu diteruskan demi dua cahaya matanya, Noureen Falisha, 2 dan Ean Esmael berusia dua bulan serta isterinya.

Menurutnya, sebelum ini pendapatan bulanannya adalah RM1,750.

Menurutnya, kejadian itu adalah ujian kali kedua selepas terlibat dalam kemalangan ke tempat kerja yang sama semasa menghantar seorang pekerja pulang.

Kemalangan yang berlaku mengakibatkan tumit kaki kiri digilis lori menyebabkan dia berjalan terhencut-hencut.

“Tapi tak disangka saya kini kehilangan tangan dan ujian kali ini lebih berat dan menimbulkan kesulitan bagi saya untuk bekerja bagi menyara kehidupan keluarga,” ujar bapa kepada dua anak ini.

Bagaimanapun beliau bersyukur apabila ahli keluarga sentiasa memberi semangat kepadanya dan mengambil berat dengan permasalahan dialami.

Ezwan yang berharap diberi kesembuhan supaya dapat mencari pekerjaan sesuai bagi meneruskan kehidupan.

“Saya mungkin bekerja sambilan di gerai makan milik kakak bagi tempoh tertentu selepas luka kesan pembedahan pulih,” katanya.

Terdahulu Ezwan menerima kunjungan daripada Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak dan wakil Ketua Pemuda Barisan Nasional Pasir Gudang merangkap ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) son Desa Harmoni, Mohd Khairul Azlan Sulong.

Mohd Nasir berkata, MAIJ akan mempertimbangkan bantuan sesuai bagi keluarga berkenaan demi meneruskan kelangsungan hidup lelaki itu.

“Kami juga menyerahkan bantuan segera berbentuk sejumlah wang tunai dan barangan keperluan secara one off pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Azlan berkata, dia juga akan merujuk permasalahan keluarga berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mendoakan Ezwan dan keluarganya cekal menempuhi ujian Allah ini,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan ke akaun bank Public Bank Erwan 4801718317 atau hubungi talian 017-734 8914.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast