LOS ANGELES – Sindrom Covid Berpanjangan atau ‘Long COVID’ menyebabkan hampir satu pertiga pekerjaan tidak diisi di Amerika Syarikat, lapor Xinhua memetik CNBC. memetikhasil penyelidikan Institusi Brookings.

Menurut CNBC yang memetik penerbitan penyelidikan oleh Institusi Brookings minggu lalu, dianggarkan 16 juta rakyat Amerika berusia antara 18 dan 65 tahun mengalami gejala ‘Long Covid’ selepas jangkitan.

Keadaan itu termasuk gangguan kognitif otak, keletihan, masalah pernafasan, sakit otot, sakit kepala, sakit dada dan juga kebimbangan atau kemurungan — semua gejala yang boleh menyukarkan penghidapnya untuk bekerja, menurut laporan itu.

Penyelidikan itu menganggarkan bahawa 2 juta hingga 4 juta daripada mereka kini tidak bekerja kerana sindrom berkenaan.

Menurut data terkini daripada Biro Statistik Buruh AS, terdapat 10.7 juta pekerjaan yang belum diisi di AS. Ia boleh menyumbang kepada kira-kira satu pertiga daripada kekurangan buruh semasa negara, kata laporan itu. – BERNAMA