GEORGE TOWN – Sebuah rumah kayu berusia kira-kira 150 tahun tahun yang terletak di Jalan Gemas di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran lewat malam tadi.
Kejadian jam 11.20 malam itu tidak membabitkan kemalangan jiwa selepas wanita cacat penglihatan itu sempat diselamatkan suaminya.
Bagaimanapun, kejadian itu mencetuskan suasana cemas penduduk setempat susulan keadaan kediaman masing-masing dekat selain rata-ratanya dibina menggunakan kayu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.28 malam.
Jelas beliau, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Lebuh Pantai dikerahkan kejadian dan tiada mangsa dalam rumah ketika pihak bomba tiba di lokasi.
“Api rumah tersebut segera dipadamkan bagi mengelak ia merebak ke kediaman lain.
“Sebanyak 95 peratus rumah pusaka berusia kira-kira 150 tahun itu musnah dijilat api akibat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Turut musnah tiga buat motosikal yang ditempatkan di bahagian rumah.
Tambah Saadon, selain kediaman itu, tiga buah motosikal milik mangsa serta jiran berhampiran turut hangus dijilat api.
“Kebakaran masih dalam siasatan namun berdasarkan keterangan pemilik rumah mendapati api itu bermula dari bahagian belakang,”. – MalaysiaGazette