zuhdi marzuki PN PH
Mohd. Zuhdi Marsuki

KUALA LUMPUR – Solidariti dalam Perikatan Nasional (PN) boleh tergugat sekiranya ada dalam kalangan pemimpin gabungan politik itu berhasrat membuka pintu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menegaskan, beliau akan menentang habis-habisan hasrat bekerjasama dengan PH sama ada dalam bentuk pakatan pilihan raya atau gabungan politik.

Menurut beliau, penentangan itu adalah selari dengan keputusan yang telah dibuat secara bersama oleh Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 15 Mei lalu.

“PH merupakan ancaman kepada umat Islam dan bumiputera di negara ini sebagaimana yang telah terbukti semasa 22 bulan mereka memerintah.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa pelancaran PN peringkat negeri Terengganu sebelum ini, PH berhasrat merungkaikan tonggak Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab itu bekerjasama dengan PH adalah sesuatu yang mustahil bagi Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebelakangan ini timbul lagi desas-desus bahawa PN berhasrat mengadakan kerjasama dalam bentuk pakatan pilihan raya dengan PH iaitu dalam bentuk membahagikan kerusi antara PN dan PH agar tidak bertembung kerusi, dengan tujuan memastikan Barisan Nasional (BN) kalah.

Sebelum ini, kerjasama sedemikian dinamakan sebagai Khemah Besar.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin-pemimpin PH membuka semula pintu rundingan dengan pihaknya bagi menentang BN pada PRU-15.

Namun, pemimpin-pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak mentah-mentah sebarang kerjasama dengan PN.

Mohd. Zuhdi menambah, matlamat mahu mencari kemenangan semata-mata sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan Pas yang mahu mendaulatkan Islam, adalah kaedah politik Machiavelli yang sama sekali tidak dapat diterima oleh pendukung dan penyokong parti itu.

Beliau memberitahu, sebagaimana yang telah berulang kali ditegaskan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Abdul Hadi, Pas akan terus berusaha untuk menyatukan ummah meskipun masih terdapat pergeseran tajam antara parti-parti yang dianggotai oleh umat Islam.

“Oleh sebab itu, kerjasama dengan PH sama sekali tidak termasuk dalam Agenda Penyatuan Ummah dan sebarang usaha ke arah itu adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette