Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Fakulti Pergigian Universiti Malaya menawarkan rawatan masalah ‘Protraction headgear’ juga dikenali sebagai ‘facemask’ atau ‘reverse headgear’.

Terapi ‘protraction headgear’ adalah rawatan awal ortodontik untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang mengalami masalah rahang bawah yang besar dan mengakibatkan gigi kacip bawah tergigit di hadapan gigi kacip atas.

‘Protraction headgear’ adalah satu alat yang dipasang di hadapan muka pada dahi dan dagu.

Pensyarah danPakar Ortodontik Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Lau May Nak berkata, bingkai besi yang menyambung kesemua bahagian ‘protraction headgear’ diikat dengan tali getah kepada pendakap gigi boleh tanggal atau tetap pada gigi rahang atas.

Ia perlu dipakai sekurang-kurangnya 14 jam sehari pada waktu malam untuk 6 hingga 18 bulan.

Semakin lama ia dipakai sehari, semakin cepat rawatan tersebut.

Menurutnya, kebelakangan ini, penyelidik-penyelidik di United Kingdom mendapati terapi ‘protraction headgear’ ini adalah sangat berkesan dan mencatatkan 70% kejayaan.

Lebih-lebih lagi, didapati bahawa hanya satu per tiga kanak-kanak yang menerima rawatan awal ‘protraction headgear’ memerlukan rawatan pembedahan rahang masa dewasa untuk merawat masalah tulang rahang yang besar dan gigitan silang.

Sebaliknya, sebanyak dua per tiga kanak-kanak yang tidak menerima rawatan awal ‘protraction headgear’ memerlukan rawatan pembedahan rahang tersebut masa dewasa.

”Dalam kata lain, risiko seseorang memerlukan rawatan pembedahan rahang adalah 3.5 kali lebih tinggi di kalangan pesakit yang tidak menerima rawatan awal ‘protraction headgear’,” ujarnya.

Biasanya, sebelum terapi ‘protraction headgear’ diperkenalkan, seseorang pesakit yang mengalami masalah rahang bawah besar akan disyorkan untuk menangguhkan rawatan ortodontik sehingga pertumbuhannya terhenti, iaitu sekitar umur 16 hingga 17 tahun.

Walaupun masih belum diketahui umum, rawatan awal dengan ‘protraction headgear’ semakin popular sekarang kerana faedah tambahannya iaitu merawat gigitan dan posisi tulang rahang secara awal dan mengurangkan risiko pembedahan rahang pada masa hadapan.

”Jika anak anda mengalami masalah rahang bawah yang besar dan gigitan silang hadapan, hubungi kami kerana kemungkinan besar rawatan awal ‘protraction headgear’ adalah penyelesaiannya,” tambah May Nak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast