Ismail Sabri (kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berhubung kejadian banjir puing di Kampung Iboi, Baling, Kedah ketika mengadakan lawatan kerja di negeri itu hari ini.

BALING – Kerajaan negeri Kedah diminta mengambil tindakan segera berhubung kewujudan tiga kolam besar di puncak Gunung Inas yang merisikokan penduduk sekiranya ia pecah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tindakan segera perlu diambil demi keselamatan penduduk kerana banjir lebih teruk mungkin berlaku sekiranya kolam itu pecah.

“Dalam kejadian banjir sebelum ini cuma tandak yang pecah bukan kolam jadi kita akan minta kerajaan negeri atasi isu ini bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” katanya pada sidang media di Dataran Keluarga Malaysia, Kampung Teluk Durian di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memaklumkan Kementerian Alam Sekitar dan Air masih mengkaji keperluan membina empangan sabo di Gunung Inas.

“Dalam perbincangan sebelum ini, saya dimaklumkan keutamaan bagi membina empangan tersebut bergantung kepada kekerapan sesebuah kawasan berlaku banjir.

“Saya akan semak perkara ini, kerana sebelum ini memang ada dalam perancangan awal untuk bina empangan sabo di Yan dan Baling namun kementerian itu mahu utamakan pembinaan empangan tersebut di kawasan yang sering berlaku banjir,” katanya. – MalaysiaGazette