Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai.Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan Rafizi Ramli minggu depan susulan laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya dalam perancangan untuk memanggil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Kita akan memanggil beliau (Rafizi) untuk dirakam percakapan pada minggu depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Rafizi sedia dipanggil polis susulan laporan yang dibuat berkaitan dakwaannya mengenai pembabitan Abd. Latiff dalam projek LCS.

Rafizi turut mempersoalkan mengapa Abd Latiff belum dipanggil polis untuk memberi keterangan walaupun laporan mengenainya telah dibuat Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini.

Pada Selasa, media melaporkan, satu laporan polis dibuat Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa isteri keduanya terlibat dalam penyelewengan projek LCS.

Eng Lai berkata, pihaknya mengesan sebanyak dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang telah dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.

Sementara itu, Eng Lai berkata, polis telah merakam keterangan beberapa individu termasuk seorang hakim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau berkata, antaranya polis telah merakam keterangan pegawai undang-undang dan hakim bagi membantu siasatan.

“Lebih kurang 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, kita juga dalam proses siasatan untuk mengesan siapa yang menyebarkan draf kehakiman tersebut,” ujarnya.

Pada Sabtu, media melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Rosmah.

Eng Lai dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kejadian itu disedari pengadu ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur apabila dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang juga dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dokumen itu adalah dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan yang juga pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast