Saturday, April 20, 2024
Home Politik Matlamat Pas halang PH jadi kerajaan dalam PRU15

Matlamat Pas halang PH jadi kerajaan dalam PRU15

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor berucap ketika hadir pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan empat matlamat utama.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, matlamat pertama parti itu adalah untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali menjadi kerajaan.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, parti itu juga menyertai pilihan raya umum untuk mengelak Barisan Nasional (BN) daripada menubuhkan Kerajaan secara bersendirian.

“Matlamat Pas masuk pilihan raya umum ke-15 yang pertama ialah mengelak PH memerintah semula.

“Kedua Pas mahu kekalkan kedududkan di negeri yang Pas memerintah sekarang ini. Kerajaan Pas di Kelantan, Terengganu dan kerajaan campuran yang dipimpin oleh Pas.

“Yang ketiga mengelak Barisan Nasional menubuh kerajaan bersendirian,” katanya dalam ucapan pada Muktamar Pemuda Pas ke-63 di sini malam ini. Turut hadir Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor (kiri) bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad di majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

Selain itu, Pas juga katanya mahu bertanding dalam pilihan raya kerana mahu memperjuangkan perpaduan ummah dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu.

Parti itu juga mahu mengukuhkan kuasa politik orang Islam dan dominisi orang Melayu yang menjadi teras bangsa di negara ini.

Justeru menurut beliau matlamat tersebut perlu dipatuhi oleh Pemuda Pas.

Beliau menegaskan sebarang langkah atau keputusan yang akan diambil oleh pemimpin parti itu adalah bagi mencapai kesemua matlamat tersebut.

Sanusi berkata, Pas akan menghadapi PRU15 kali ini bukan secara solo tetapi melalui gabungan dengan Perikatan Nasional.

Namun menurut beliau terdapat 20 hingga 27 kerusi Parlimen memerlukan perundingan dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Kerusi-kerusi terbabit perlu dimenangi oleh Pas dan UMNO untuk menghalang PH daripada berkuasa dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita tak buat pakatan di seluruh negara sekurang-kurangnya ada 20 hingga 27 kerusi Parlimen yang perlu perundingan dengan BN untuk mengelak PH menang,” katanya berterus terang.

Artikel berkaitan: Pas mahu runding 27 kerusi kritikal dengan UMNO

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung 27 kerusi kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Tuan Ibrahim berkata, kesemua kerusi terbabit telah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU lalu dan kerusi itu boleh direbut jika UMNO dan Pas tidak bertembung.
Justeru, kata beliau, perbincangan boleh diadakan dalam memastikan kesemua kerusi itu berpotensi dimenangi sama ada oleh Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).-MalaysiaGazette