Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memastikan beberapa kerajaan negeri dikuasai Pas dan Pakatan Harapan (PH) sekata untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali membuat gesaan itu berikutan kenyataan daripada Pas dan PH untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku PRU pada Oktober atau November ini.

Beliau menegaskan, mengadakan pilihan raya berasingan antara negeri dan Parlimen akan membazir wang rakyat.

“Pas dan PH telah keluarkan kenyataan bahawa Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN masing-masing, melainkan selepas Mei 2023.

“Malah, jika PRU-15 diadakan Oktober atau November ini, enam negeri ini akan mengadakan PRU berasingan dengan Parlimen. Bermakna akan berlaku dua kali PRU iaitu untuk Parlimen dan DUN yang tidak pernah berlaku sebelum ini kecuali Sabah dan Sarawak serta Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Cuba bayangkan ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk PRU dan PRN. Ini membazir wang rakyat dan demi political game bagi mereka yang berkuasa adalah sikap tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan khabar angin mengatakan PRU-15 akan diadakan lebih awal iaitu Oktober atau November tahun ini.

Menurut Ibrahim, kenyataan pemimpin UMNO juga semakin kuat dan lantang kerana dakwa mereka perdana menteri sudah memberi pengakuan akan diadakan PRU-15 secepat mungkin.

Katanya, jika PRU diadakan awal, mereka yang tersenarai sebagai kluster mahkamah juga mempunyai harapan untuk bertanding kerana kes belum selesai peringkat pengadilan.

Beliau berpandangan, jika enam negeri itu tegas dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan, perdana menteri tidak wajar memanggil PRU dalam tempoh terdekat ini.

“Hanya enam bulan sahaja lagi dari November ini untuk tamat tempoh penggal PRU-14. Dengan itu, banyak wang rakyat dapat diselamatkan serta tidak membazir masa.

“Putra mengambil sikap untuk melihat sejauh mana ketegasan Ismail Sabri dalam hal ini, sama ada beliau tunduk kepada tekanan pihak berkenaan atau mahu menyelamatkan pembaziran wang rakyat dan masa.

“Bagi Putra, kita menentang pembaziran wang rakyat dan mainan politik untuk kepentingan individu serta parti tertentu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette