Datuk Seri Ismail Abd Muttalib

MARAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memastikan agensi di bawahnya bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan bencana termasuk banjir pada musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, cuti sebilangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dibekukan.

“Kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bukan sahaja kemalangan, bahkan musim banjir ini pelbagai kemungkinan termasuk kejadian kepala air seperti yang berlaku semalam dan beberapa bulan lepas yang melibatkan di kawasan Kedah, kawasan Baling, semalam di kawasan Setiu,” jelasnya.

Ahli Parlimen Maran itu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Proram Mengemping Padi Paya Bukit Chempedak, di sini hari ini.

Menurut Ismail, selain banjir, pihaknya turut mengambil maklum kekerapan berlaku kejadian kepala air di lokasi-lokasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Katanya, tindakan susulan akan diambil pihak-pihak bertanggungjawab.

“Terdapat jawatankuasa khas di peringkat pusat dan agensi-agensi yang terlibat akan mengenal pasti “spot”, bukan sahaja kepala air, kawasan punca banjir, tanah runtuh dan cerun-cerun,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dengan persekitaran lebih-lebih lagi memasuki musim tengkujuh.

Mengulas mengenai Program Mengemping Padi Paya Bukit Chempedak hari ini, Ismail mahu program itu diteruskan pada masa hadapan.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (tengah) dan isteri, Datin Seri Fatimah Haji Kassim (kiri) menampi beras yang telah ditumbuk ketika program mengemping padi di Bukit Chempedak, Maran hari ini.

“Kalau boleh diteruskan program ini. Saya mencadangkan beberapa program tadi untuk menaik taraf tapak ini dan mereka juga katanya memerlukan bekalan elektrik, maka kita akan berbincang dengan jabatan-jabatan berkenaan untuk kita bantu,”ujarnya. – MalaysiaGazette