Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas telah menghantar jemputan kepada rakan-rakannya di dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO, MCA dan MIC untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu yang berlangsung hari ini dan esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jemputan juga telah dipanjangkan kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, jemputan yang dihantar tidak menerima sebarang reaksi daripada mereka.

“Saya menegaskan dalam mesyuarat agung telah menjemput semua ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk hadir pada hari ini.

“Bukan itu sahaja, saya boleh mengesahkan kita juga menjemput presiden dan pemimpin MCA dan MIC serta yang berhormat Tun M juga dijemput tetapi mereka tidak menerima

“Yang hadir hanya dua parti iaitu Bersatu dan Gerakan. Yang lain itu semua tidak menerima jemputan ini,” kata Takiyuddin.

Beliau menjawab salah seorang perwakilan yang mempersoalkan ketidak hadiran pemimpin parti-parti terbabit ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung ke Kompleks Pas Kedah selama dua hari.

Menurut Perwakilan Wilayah Persekutuan itu, apakah pendirian Pas mengenai hubungan dengan parti-parti yang berada di dalam MN.

“Kita tak mahu nanti, khususnya di Labuan, satu ketika dahulu waktu kita bersama Pakatan Rakyat kita sudah berada dan kita sudah buat penamaan calon, tiba-tiba ada calon daripada PKR meminta Pas menarik diri tiba-tiba.

“Maka dalam hal ini khususnya kita sudah isytihar gagasan kita tentang bersama dengan Perikatan Nasional.

“Tapi bagaimana dengan Muafakat Nasional khususnya UMNO yang mungkin tuan-tuan tidak suka disebut tapi mahu atau tidak, suka ataupun tidak kita kena ambil firman Allah yang saya sebutkan tadi, kalau nak menang,” katanya. – MalaysiaGazette