Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berswafoto dengan sebahagian ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan perjanjian antara pihaknya dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai cerita lama.

Malah katanya, ia bukanlah satu cerita baharu yang perlu diungkit semula.

“Perjanjian dengan Perikatan (Nasional), dah lama dah tu bukan cerita baharu,” katanya ringkas kepada media apabila ditanya mengenai perjanjian yang dibocorkan baru-baru ini.

Terdahulu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, mendedahkan maklumat yang didakwanya mengandungi perkara disunting daripada surat itu menerusi sebuah video di Facebook.

Dakwanya, dalam surat itu, Ismail Sabri bersetuju mengekalkan Tan Sri Idrus Harun sebagai peguam negara.

Idrus dilantik sebagai peguam negara apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan.

Menurut Lokman, Ismail Sabri juga didakwa berjanji akan mengekalkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC dari Bersatu dan PAS.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menepis pertanyaan mengenai kesahihan perjanjian didakwa antara Ismail Sabri dan yang dibocorkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin.

Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Perdana Menteri.

“Saya rasa semua media dah keluar dah…dia dah tender surat letak jawatan, dan saya terima peletakan jawatan dia,” ujarnya.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan, Azalina sudah menghantar surat peletakan jawatan itu, pada Isnin lalu.

Menurut kenyataan itu, notis sebulan diberikan kepada Azalina supaya dapat menyelesaikan kerja yang berkaitan.

Bagaimanapun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.

Semalam, Azalina, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menerusi hantaran ringkas di Facebook miliknya menjelaskan, beliau masih memegang jawatan itu.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Beliau didakwa seperti menyindir Ismail Sabri berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) ketika berucap pada program Taklimat Khas Presiden UMNO, Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast