KUALA LUMPUR – Penyanyi Shahir Zawawi, 34, selamat menjadi suami kepada Jaskin Jaludin dengan sekali lafaz pada malam tadi.
Juara musim kelapan program realiti, Akademi Fantasia (AF8) itu menyerahkan mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM20,000.
Pengantin perempuan membalas lima dulang hantaran daripada tujuh dulang oleh pengantin lelaki.
Shahir yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan bersyukur atas kelancaran majlis akad nikah yang turut disaksikan keluarga dan kenalan kedua-dua pihak.
“Alhamdulillah, syukur segala-galanya lancar. Terima kasih kepada semua pihak terbabit.
“Sebelum bernikah ada rasa gementar, tetapi selepas semuanya selesai, saya lega. Semoga ikatan ini berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Shahir dan isteri yang juga pemilik butik berasal dari Tawau, Sabah akan pulang kampung halaman untuk majlis resepsi, kira-kira tiga minggu lagi.
Sebagai hadiah buat Jaskin, Shahir mencipta lagu berjudul Halal yang akan dipersembahkan pada majlis resepsi pada malam esok. – MalaysiaGazette