ALOR SETAR – Pas menyasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen perlu dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sasaran itu hanya boleh dicapai sekiranya Pas mengekalkan kemenangan di tiga negeri ketika ini.
“Kita kena menguatkan kedudukan kita di Putrajaya dengan menambah jumlah kerusi-kerusi Parlimen.
“Kita kena bekerja dan bersungguh-sungguh supaya jumlah 18 kerusi ini akan meningkat seberapa banyak yang boleh.
“Seminimumnya pada pandangan dan perhitungan kita, kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi Parlimen,” katanya berucap pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas di Kompleks Pas di sini malam tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Pas memenagi 18 kerusi Parlimen termasuk sembilan di Kelantan, lapan di Terengganu dan tiga di Kedah.
Antaranya Parlimen yang dimenangi Pas di Kelantan ialah Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Bagi Terengganu pula, antara Parlimen itu ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Manakala Kedah pula hanya tiga Parlimen dimenangi Pas iaitu Pendang, Jerai dan Sik.
Dalam pada itu, Pas perlu mengekalkan kemenangan parti itu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya mahu kekal dalam Kerajaan Persekutuan.
“Kita turun pilihan raya ini untuk memastikan supaya kemenangan kita di Kelantan, Terenagganu dan Kedah dapat kita pertahankan dalam pilihan raya akan datang.
“Kita nak kekal memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kita kena pastikan keberadaan kita di pusat ini akan terus kekal.
“Kita perlu memastikan supaya kedudukan kita di dalam Kerajaan Persekutuan itu kekal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette