Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Nada Pas yang menunjukkan pihaknya king maker (kuasa penentu) selepas Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) dibidas Ketua Pembangkang.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah yang diambil oleh kepimpinan parti itu pada muktamar di Kedah mencerminkan pendekatan berbahaya kepada proses pembentukan kerajaan.

“Itu satu pendekatan yang berbahaya kerana akan memberikan ugutan. King maker maknanya kami nak sekian menteri, kami nak sekian kedudukan seperti mana yang berlaku sekarang

“Yang kita nak ialah parti yang mengemukakan dasar yang jelas, rasuah sudah menjadi barah di negara ini. Penyalahgunaan kuasa, ekonomi tidak dirancang dengan memuaskan, tidak dipacu dengan meyakinkan

“Hal- hal ini bagi saya lebih utama,” katanya kepada media di satu acara di Parlimen hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyasarkan parti itu akan menang 40 kerusi pada PRU-15 sekaligus menjadi king maker dalam pembentukan kerajaan selepas PRU-15.

Sanusi berkata, sekiranya sasaran itu dapat dicapai ia bermakna mana-mana parti yang akan dapat membentuk kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

Dalam isu lain, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan isu penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ke dalam gabungan itu tidak berbangkit buat masa ini.

Jelas Anwar, walaupun kepimpinan parti itu kerap menyertai program anjuran PH namun ia tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“PH belum membincangkan hal ini, perkara ini tidak berbangkit. Soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah dan berjalan baik dalam kalangan pembangkang.

“Tapi untuk penyertaan (MUDA) dalam PH  belum dibincangkan Majlis Presiden PH,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, hubungan PH dengan MUDA sentiasa berjalan dengan baik biar pun tidak mengatakan hasrat untuk menyertai PH.

Berbeza dengan MUDA, Anwar berkata, pihaknya agak sukar untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana, jelas Anwar, kedua-dua gabungan itu mencerminkan prinsip yang sangat berbeza.

“Kita lebih menekankan soal pengurusan kerajaan negara yang baik, menolak rasuah, mempertahankan prinsip Perlembagaan, kedudukan bahasa, agama, raja-raja dan hak keistimewaan tapi tidak berasaskan kaum seperti diutarakan (GTA),” katanya lagi. – MalaysiaGazette