Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerjasama Pas dan UMNO hanya akan menjadi kenyataan kalau Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menjadi Presiden.

Selagi jawatan nombor satu UMNO itu dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Annuar hanya sekadar boleh bermimpi di siang hari.

Demikian pandangan Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang menyifatkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu dalam keadaan tersepit untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau tidak tahu apa niat Ahli Parlimen Ketereh itu, tetapi pucuk pimpinan dan akar umbi UMNO sudah memutuskan untuk tidak lagi menerima Pas.

“Kalau Annuar Presiden UMNO pasti kerjasama ini menjadi kenyataan dan selamatlah kerusi Parlimen Ketereh untuknya.

“Dalam PRU14, dia bertanding atas tiket BN dan hanya menang tipis. Kalau ada kerjasama dengan Pas, bergayalah dia kerana Pas tidak akan meletakkan calon di parlimen itu.

“Inilah sebenarnya yang tersirat dalam agenda politik Annuar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, UMNO perlu menerima kerjasama dihulurkan Pas bagi menghadapi PRU15.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pendirian Pas untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO seperti diterjemahkan dalam muktamarnya baru-baru ini, perlu dilihat secara positif.

Katanya, beliau mengikuti rapat muktamar Pas dan resolusi yang diputuskan dalam persidangan itu.

Menurut Ibrahim, strategi Pas untuk terus bekerjasama dengan UMNO kerana mahu mempertahankan tiga negeri yang diperintahnya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada perhitungan Pas, katanya, jika berlaku kerjasama itu atas nama Muafakat Nasional (MN), selamatlah tiga negeri yang mereka kuasai sekarang, termasuk kerusi dikuasainya kekal untuk parti itu bertanding.

“Hakikatnya, Pas sudah tidak ada integriti dan moral untuk bercakap soal penyatuan atau perpaduaan ummah. Mereka menyalak untuk menunjuk kepada umat Islam parti itu berjuang demi agama hanya sekadar mainan politik hipokrit mereka.

“Umat Islam tidak lupa mainan hipokrasi politik Pas. Dulu, bersama Pakatan Rakyat (PR) berpeluk dengan DAP sehingga dalam kempen Pas menyatakan undi DAP kafir lebih baik daripada undi UMNO,” katanya.

Beliau berkata, lahirnya Parti Amanah Negara (Amanah) kerana Pas gagal menjamin silaturahim sesama sendiri, selain golongan yang dinobatkan ulamak dalam parti itu menolak aktivis Islam sekular.

Maka, tersungkurlah Mohamad Sabu dan geng beliau yang sebelum ini dijadikan meriam untuk menembak UMNO siang malam.

“Kesimpulannya, penyatuan ummah yang digembar gemburkan adalah slogan politik hipokrit yang masing-masing ada agenda tersendiri.

“Pandangan saya ialah slogan “Hidup Melayu” dan takbir “Allahuakbar” adalah mainan politik semata-mata yang akhirnya umat Melayu Islam menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Justeru, beliau mengajak rakyat menolak parti-parti retorik dan hipokrit itu dengan memberi sokongan serta peluang kepada Gerakan Tanah Air (GTA).

Katanya, GTA boleh merealisasikan segala cita-cita ummah terutama menyelamatkan Melayu Islam yang semakin tenat dan mengangkat martabat bangsa serta Islam.

“Tukarlah kapal yang sudah buruk dan rosak dan sama-samalah naik kapal yang baru bernama GTA,” katanya. – MalaysiaGazette