Chow Kon Yeow. / Gambar - Facebook CKY

GEORGE TOWN – “Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas sentiasa menjadi projek wajib disenaraikan setiap tahun meskipun tidak diluluskan peringkat Persekutuan”.

Demikian tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika mengulas pertikaian yang dibangkitkan oleh Parti Gerakan berhubung projek berkenaan yang dikatakan tidak disenaraikan dalam Bajet Persekutuan 2023.

Menurut Kon Yeow, pimpinannya tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha pelaksanaan projek-projek infrastruktur termasuk LRT Komtar – Bayan Lepas yang akan memberikan manfaat kepada penduduk.

“Projek LRT Komtar – Bayan Lepas sentiasa tersenarai dan menjadi projek wajib. Ia bukan sahaja dalam setiap bajet malah pada mesyuarat dan pertemuan pada peringkat Persekutuan juga yang mana projek ini sentiasa dalam radar kita.

“Walaupun tidak diluluskan (pada peringkat Persekutuan) kita tetap tidak berputus asa menyenaraikannya setiap tahun dan kini, kita sedang melalui latihan Pra-Kelayakan yang merupakan peringkat pertama Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi projek LRT berkenaan.

“Perkara ini adalah selepas jaminan pinjaman yang telah diberikan sebelum ini ditolak oleh Kabinet,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Tambah Kon Yeow, bagi pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan Negeri telah mengenal pasti dan memohon sejumlah 126 projek pembangunan dan infrastruktur.

“Permohonan projek-projek ini melibatkan 20 jabatan dan agensi kerajaan serta 11 Kementerian dengan anggaran kos keseluruhan adalah RM17.72 bilion yang mana sebanyak RM2.89 bilion diperlukan untuk tahun depan.

“Daripada senarai 126 projek itu, projek pengangkutan awam LRT Komtar – Bayan Lepas Fasa 1 turut disenaraikan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM10 bilion,” jelasnya.

Sebelum ini, dalam sesi konsultasi Bajet 2023 dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Komtar, Kerajaan Negeri menyenaraikan 10 projek pembangunan dan infrastruktur utama yang bakal memberi impak positif terhadap pembangunan negeri dengan anggaran kos berjumlah RM2.27 bilion untuk tahun 2023. – MalaysiaGazette