Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC tidak mahu isu yang di timbulkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung kerusi Parlimen Pulai berterusan menjadi pertikaian.

Sebaliknya kata Tan Sri SA Vigneswaran, sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang perbincangan tentang kerusi tersebut walaupun menukarnya dengan MCA mahu pun UMNO dengan MIC.

Malah Duta Khas ke India dan Asia Selatan itu juga tidak ingat seandainya MIC ada mengeluarkan apa-apa kenyataan mahu pun ura-ura hendak bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

“Untuk pengetahuan, perkara ini dianggap sudah selesai malah saya sendiri telah bercakap dengan beliau (Nur Jazlan). Kita satu keluarga. Biarlah isu ini selesai.

“MIC tidak pernah minta mahu pun berminat sama sekali untuk bertanding di Parlimen Pulai. Jadi isu ini perlu dihentikan diperkatakan oleh mana-mana pihak selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Vigneswaran mengulas kenyataan Nur Jazlan yang telah meminta MIC berunding dengan MCA jika ia mahu bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Baru-baru ini juga, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu membuka laluan kepada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan untuk bertanding di kawasan berkenaan selepas berlakunya ‘perang mulut’ antara kedua-dua pemimpin itu.

Menurut Nur Jazlan, Saravanan juga boleh mendapatkan sokongan daripada pengundi Orang Asli sekiranya beliau merindui sokongan kaum itu di Kampung Bakar Batu tetapi ia tidaklah seramai di kawasannya di Tapah.

Saravanan juga membidas Nur Jazlan supaya berhenti mendahulukan presiden parti dengan cuba menentukan calon bertanding.

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, ketika ini adalah penting supaya BN tampil kuat untuk menang PRU akan datang yang padanya sangat penting.

“Sudah tiba masa untuk kita fikir tentang kemenangan besar. Fikir cara untuk kita (Barisan Nasional) menang besar pada PRU akan datang bukan bergaduh sesama sendiri pada masa ini,” tegasnya.

Untuk makluman, Nur Jazlan pernah memegang kerusi Parlimen Pulai selama tiga penggal sebelum kalah dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub pada PRU 2018.

Isu antara Nur Jazlan dan MIC bukan baharu malah sejak akhir-akhir masing-masing bertikam lidah selepas pemimpin UMNO itu bertindak menyelar MIC dan MCA untuk tidak terlalu bergantung dengan UMNO untuk meraih sokongan bukan Melayu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast