KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kecenderungan untuk terus mengetatkan dasar monetari sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2023, disokong oleh peningkatan dalam pasaran buruh serta pemulihan ekonomi Malaysia yang semakin menggalakkan, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga).
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, ia berkata, pasaran buruh domestik dan pemulihan ekonomi yang bertambah baik mungkin mendorong BNM untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya hari ini dalam usaha untuk menghalang peningkatan tekanan inflasi dari segi permintaan.
“Bergerak ke hadapan, kami berpendapat BNM akan terus menaikkan OPR dengan kenaikan 25 mata asas pada setiap mesyuarat sehingga Januari 2023, menjadikan ia 3.00 peratus,” tambahnya.
Mengenai prestasi ringgit, Kenanga mengunjurkan ringgit diniagakan pada sekitar 4.35 berbanding dolar menjelang akhir tahun, daripada 4.17 pada akhir 2021.
“Ringgit masih berpotensi untuk membalikkan kerugiannya dan mengukuh sekitar paras 4.35 menjelang akhir 2022 di tengah-tengah prospek ekonomi domestik yang menggalakkan, potensi kelemahan bermusim dolar AS dan harga komoditi yang tinggi,” tambahnya.
Ia berkata, ringgit juga dijangka mendapat manfaat daripada potensi pemulihan mata wang yuan China selepas Kongres Parti Komunis China pada Oktober.
Semalam, BNM mengumumkan rizab antarabangsa susut sebanyak US$1.0 bilion atau 0.9 peratus bulan ke bulan kepada US$108.2 bilion setakat 30 Ogos 2022, paras terendah sejak Disember 2020, disebabkan terutamanya oleh penurunan ketara dalam rizab mata wang asing.
Namun begitu, jumlah itu mencukupi untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan (sebelum ini import tertangguh) dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek. – BERNAMA