KUALA LUMPUR – Dua doktor gigi Malaysia, Dr Safwan Majid dan Dr Joshua Peh masing-masing dianugerahkan Anugerah Usahawan Pergigian Muda dan Anugerah Pencapaian Muda dalam Asia Healthcare Award 2022 yang dianjurkan diĀ Chennai, India baru-baru ini.
Dr. Safwan Majid, 30, mempunyai visi untuk meningkatkan standard pergigian di Malaysia dengan menawarkan tahap penjagaan yang lebih baik kepada masyarakat.
Avisienna Dental Care yang diasaskannya bersama isterinya Dr Adhwa Anis Zulkarnain pada 2019 kini mempunyai 20 cawangan di seluruh negara, kata satu kenyataan baru-baru ini.
Pada tahun 2020, beliau menubuhkan makmal pergigian, pusat bekalan pergigian dan pusat akademi pergigian dengan juruteknik dan penceramah yang terlatih di peringkat antarabangsa dengan memberi inspirasi kepada doktor gigi muda Malaysia untuk berbangga dengan pekerjaan mereka dan berusaha untuk yang terbaik.
Dr. Joshua, 27, pula memulakan kepimpinannya sebagai presiden Persatuan Pelajar Pergigian Malaysia pada 2018.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah mencapai banyak kerjasama dengan pelbagai pakar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu, beliau juga telah mewakili Malaysia sebagai pemimpin pelajar dan penceramah di pelbagai acara dan persidangan pergigian.
Antara anugerah dan pengiktirafan beliau ialah Anugerah Pingat Emas Tun Razak, Anugerah Pencapaian Muda dan Anugerah Warga Global.
Dr. Safwan dan Dr. Joshua sama-sama bermatlamat untuk membantu meningkatkan standard pergigian di Malaysia ke peringkat antarabangsa pada masa depan.
Asia Healthcare Award 2022 dianjurkan oleh International Awards of Excellence untuk mengiktiraf Profesional Pergigian dan Kesihatan Antarabangsa.
Acara diadakan di United Kingdom untuk rantau Eropah dan India untuk rantau Asia pada setiap tahun.
Presiden IAE, Dr Monica Devendran dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain, Oliver Ballhatchet merasmikan majlis berkenaan. – MalaysiaGazette