JAKARTA – Sebuah pesawat latihan G-36 Bonanza T-2503 milik Tentera Laut Indonesia (TNI AL) terhempas di laut Selat Madura, Jawa Timur.
Lokasi sebenar nahas yang berlaku pada Rabu lalu kira-kira pukul 9.30 pagi waktu Indonesia Barat telah ditemui, manakala nasib juruterbang dan pembantunya belum dapat dipastikan.
Pesawat itu terputus hubungan 10 minit selepas berlepas pada 8.45 pagi untuk menjalankan latihan pertahanan udara, menurut kenyataan TNI AL.
Menurut laporan media tempatan, memetik komander penerbangan tentera laut, proses pemindahan pesawat, yang berada pada kedalaman 15 meter di bawah laut, sedang dijalankan. Tujuh kapal perang dan penyelam komando marin telah dikerahkan ke lokasi.
Pada 18 Julai, sebuah pesawat latihan pejuang T-50i Golden Eagle milik Tentera Udara Indonesia terhempas di kawasan pergunungan Blora, Jawa Tengah, membunuh juruterbang. – BERNAMA