Gambar hiasan

MELBOURNE – Harga minyak merosot pada awal dagangan pada Jumaat selepas mengalami lantunan sedikit pada sesi sebelumnya, menyebabkan harga minyak jatuh untuk minggu kedua berturut-turut berikutan kebimbangan kenaikan kadar agresif bank pusat dan sekatan Covid-19 di China yang akan menjejaskan permintaan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$0.12 atau 0.1%, kepada AS$89.03 setong pada 0051 GMT, selepas meningkat 1.3% pada Khamis manakala West Texas Intermediate (WTI) AS turun AS$0.19 atau 0.2% kepada AS$83.35 setong, selepas meningkat 2% pada sesi sebelumnya.

Kedua-dua penanda aras turun kira-kira 4% untuk minggu ini, dengan pasaran merosot pada satu paras terendah sejak Januari.

Penurunan itu berlaku ekoran pengurangan pengeluaran kecil oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+), selain ancaman Rusia untuk mengurangkan minyaknya kepada mana-mana negara yang menyokong sekatan had harga minyak mentahnya dan prospek yang lebih lemah untuk pertumbuhan pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS).

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS menjangkakan pengeluaran minyak mentah meningkat sebanyak 540,000 tong sehari kepada 11.79 juta tong sehari pada 2022, turun daripada ramalan awal 610,000 tong sehari.

“Permintaan China lebih sukar untuk diramalkan, tetapi pembukaan semula selepas sekatan Covid-19 sebelum ini menyaksikan pemulihan mendadak dan bukannya peningkatan permintaan secara beransur-ansur.

”Dalam konteks ini, asas-asas kelihatan condong berbanding isyarat teknikal terkini,” kata penganalisis National Australia Bank dalam nota penyelidikannya.

Buat masa ini, sekatan Covid-19 di China semakin ketat.

Bandar Chengdu yang mempunyai lebih daripada 21 juta penduduk telah melanjutkan penutupannya manakala berjuta-juta lagi di bahagian lain di China digesa untuk tidak melakukan perjalanan semasa cuti akan datang. – Reuters