Muda PH
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Amira Aisya Abd. Aziz bersama kepimpinan tertinggi Muda di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022

PAKATAN Harapan (PH) dikatakan masih lagi mempertimbangkan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai gabungan parti pembangkang itu.

Seperti akronimnya, MUDA masih baru lagi ditubuhkan. Pada 17 September ini, ia bakal menyambut ulang tahunnya yang kedua. Syed Saddiq yang menjadi presidennya pun baru berumur 29 tahun.

Walaupun MUDA mempunyai banyak persamaan dari segi matlamat dengan parti-parti lain dalam PH iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum menerima kemasukannya.

Antara peranan MUDA adalah untuk menarik sokongan pengundi muda khususnya kelompok Undi18. Kebanyakan mereka lebih-lebih lagi belia Melayu tidak menyertai mana-mana parti politik secara aktif.

Dalam hal ini, MUDA dilihat mempunyai kelebihan untuk mendapatkan kepercayaan pengundi muda yang kurang berminat dengan parti-parti politik ‘senior’ yang dikuasai pemimpin-pemimpin veteran.

Golongan muda lazimnya berkecenderungan menyokong pembangkang berikutan jiwa mereka yang suka memberontak dan mahukan sesuatu yang di luar norma dan kebiasaan. MUDA boleh memanipulasi perkara ini untuk kepentingan politik PH.

Namun, sayap-sayap pemuda dalam PKR dan Amanah boleh terjejas dengan penyertaan MUDA. DAP tidak terancam kerana demografi pengundi yang menjadi sasarannya adalah berbeza dengan parti-parti lain dalam PH.

Malah, MUDA telah menunjukkan belangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang turut ditandingi PKR. Calon muda dari Barisan Nasional (BN), Mohd. Hairi Mad Shah menang dalam pertembungan enam penjuru itu.

Prestasi Muda pada PRN Johor tidak seperti yang diharapkan. Hanya seorang daripada tujuh calonnya iaitu Amira Aisya Abd. Aziz yang menang. Walau bagaimanapun, MUDA boleh berbangga kerana tiada calonnya yang hilang deposit.

Ketika ini, MUDA hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Muar yang diwakili Syed Saddiq. Kerusi itu dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

MUDA perlukan lebih banyak kerusi Parlimen untuk membawa suaranya di peringkat pusat selepas PRU-15. Jadi, kerusi tradisi parti manakah yang akan diserahkan kepada MUDA? PKR atau Amanah?

Selain itu, kes mahkamah yang dihadapi Syed Saddiq boleh menjadi liabiliti kepada PH yang begitu lantang memperjuangkan aspek integriti dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Jika permohonan MUDA diluluskan, PH akan mempunyai seorang lagi pemimpin kluster mahkamah, selain Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Pucuk pimpinan PH perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum menerima kemasukan MUDA. Tidak mustahil masalah yang ditimbulkan MUDA pada PRN Johor akan berulang pada PRU-15.

Mungkin lebih baik struktur sedia ada dikekalkan dan MUDA boleh menyertai pakatan pilihan raya dalam kerangka PH Plus. – MalaysiaGazette