KUALA LUMPUR – Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV) mengumumkan penemuan minyak pertamanya di telaga Baja-1 di Blok 53, di luar pesisir Suriname.
Telaga minyak yang terletak kira-kira 189 kilometer di luar pesisir pantai pada kedalaman 1,140 meter itu berjaya digerudi sehingga ke paras 5,290 meter.
Syarikat itu juga telah menemui minyak ringan dan penilaian pasca gerudi sedang dijalankan.
“Penemuan di telaga Baja-1 merupakan peristiwa penting bagi Petronas dalam membuka sumber hidrokarbon air dalam dalam eksplorasi kami,” kata Naib Presiden Penerokaan Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman.
Tambahnya, dengan pencapaian ini, Petronas akan kekal fokus untuk mengembangkan portfolio antarabangsa terutamanya di Amerika
Beliau berkata, pencapaian itu adalah bukti gabungan kepakaran dan pengalaman rakan-rakan usaha sama.
PSEPBV memegang 30 peratus kepentingan penyertaan dalam blok itu, yang dikendalikan oleh APA Suriname Corporation LDC yang memegang 45 peratus kepentingan.
Manakala CEPSA Suriname, S.L. memegang baki 25 peratus.
PSEPBV juga memegang 100 peratus kepentingan dan pengendali di Blok 48 dan berada dalam perkongsian 50:50 dengan ExxonMobil Exploration and Production Suriname B.V di Blok 52 dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana. – MalaysiaGazette