BACHOK – Serangan bertubi-tubi musuh politik ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad membuktikan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu masih kuat dan berpengaruh.
Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kehadiran Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama gabungan baharu, GTA menyebabkan pihak terbabit kelam kabut dan bercelaru.
Katanya, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada Tun Dr. Mahathir seperti sudah pupus, hilang arah, kecewa dan sebagainya sebenarnya makin menguatkan semangat mantan perdana menteri itu untuk terus memimpin GTA.
“Mereka kata tidak takut dengan kemunculan Tun Mahathir bersama GTA tetapi melihat pada reaksi dan maklum balas itu, jelas mereka gelisah dan bimbang.
“Tun Mahathir makin steady malah tetap kebal, utuh dan jelas menunjukkan kepada umum, beliau seorang pemimpin negarawan yang hebat dan pemimpin bertaraf dunia,” katanya dalam Ceramah Perdana Putra di Medan Kubur Besar dekat sini malam tadi.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, lagi banyak serangan terhadap Dr. Mahathir dan GTA, ianya mempercepatkan usaha mempromosi gerakan itu yang sudah dikenali dan mula mendekati hati rakyat.
Katanya, sudah 44 tahun Dr. Mahathir di serang dan 90 peratus adalah isu sama sejak tahun 1987 iaitu sewaktu Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah melawan Team A yang diketuai mantan perdana menteri itu.
“Team A yang mempertahankan Tun Mahatir adalah Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain manakala saya, Tan Sri Rais Yatim, Datuk Marina Yusof dan ramai lagi dari Team B menyerang Tun Mahathir.
“Kemudian puak reformasi menyerangnya pada 1997 selepas Anwar dipecat sehingga Mohamad Sabu dalam Pas ketika itu melabelkan Tun Mahathir sebagai Mahafiraun.
“Macam-macam tuduhan dilemparkan terhadap Tun Mahathir seperti bapa korupsi, ada harta berbilion, anak kaya raya tetapi anehnya sudah 44 tahun serangan itu, sampai saat ini tidak ada satu kes pun didakwa ke atasnya,” kata beliau.
Malah kata Ibrahim, pemimpin itu tetap senyum, bersahaja dan langsung tidak emosi apabila diserang serta dijawabnya segala tohmahan itu dengan bahasa mudah, ringkas dan padat.
Jelasnya, Dr. Mahathir adalah pemimpin berwibawa bertaraf dunia dan beliau mempunyai banyak pengalaman serta peristiwa yang dilihatnya sendiri bagaimana hormatnya pemimpin dunia di Amerika Latin, Eropah Barat dan Timur, Afrika dan Negara Asia Pasifik terhadapnya.
Ujarnya, apabila mantan Perdana Menteri paling lama itu meletakkan jawatan pada 2003, semua pihak menangis apatah lagi orang UMNO.
“Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih, PRU 2004 Barisan Nasional (BN) dan UMNO menang besar melainkan Kelantan. Saya sendiri membantu Pas kerana protes terhadap pemecatan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas oleh Mr Clean yang dirty (Pak Lah).
“Bila menang besar, Mr Clean naik tocang. Ada budak tingkat 4 bermaharaja lela di Jabatan Perdana Menteri menyebabkan Mr Clean kalah teruk pada PRU 2008 dan pertama kali BN hilang dua pertiga majoriti serta kalah teruk di lima negeri.
“Akhirnya Pak Lah letak jawatan dan Najib ambil alih jawatan Perdana Menteri keenam. Tun Mahathir dan semua rakyat bersangka baik serta yakin Malaysia akan bergerak ke depan,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa tahun Najib mentadbir, pelbagai isu timbul dan terbesar kes 1MDB, Dr. Mahathir keluar UMNO dan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menubuhkan parti Bersatu.
Akhirnya, ujar beliau, parti Bersatu menyertai Pakatan Harapan dan BN kalah teruk pada PRU-14 yang menyaksikan PH menubuhkan kerajaan. – MalaysiaGazette