Matawang negara Ringgit Malaysia (RM). foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan dengan kecenderungan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan unit negara maju itu merosot di pasaran global, menurut ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranannya dengan baik walaupun mengalami tekanan daripada pasaran kewangan global.

“Rizab Persekutuan AS (Fed) sedang melaksanakan tindakan taktik untuk menurunkan nilai (dolar AS) bagi menyokong ekonomi AS. Kenaikan sebanyak 50 hingga 75 mata asas (bps) dijangkakan berlaku ketika mesyuarat Fed pada 20 hingga 21 Sept ini.

“Dolar AS yang lebih kukuh memberi keburukan kepada ekonomi global. Unit negara maju yang lebih kukuh menyebabkan import yang lebih murah bagi ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.4000-4.4900 berbanding dolar AS pada minggu depan.

“Ringgit akan mencatatkan pemulihan tidak lama lagi. Ramalan untuk akhir tahun kekal tidak berubah daripada 4.0500 kepada 4.3500 berbanding dolar AS. Ekonomi Malaysia akan berkembang di antara 6.5 dengan 7 peratus pada tahun fiskal semasa,” katanya.

Pada Khamis, BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 bps kepada 2.50 peratus dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS berikutan peniaga kekal berhati-hati menjelang mesyuarat MPC oleh BNM, sekali gus menambahkan lagi ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan hasil perbendarahaan AS.

Pada 7 Sept, ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998, apabila lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

Ringgit berada pada 4.5010/5035 ketika dagangan awal pagi Rabu.

Pada Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.4965/4990 berbanding 4.4855/4870 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.2249/2278 daripada 5.1888/1906, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2189/2209 daripada 3.1996/2009, dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5361/5386 daripada 4.4873/4888 minggu ini.

Bagaimanapun, unit tempatan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1670/1690 daripada 3.1950/1963 pada minggu sebelumnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast