Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima resolusi parti daripada Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran pada Perhimpunan Agung Tahunan kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Barisan Nasional (BN) perlu dirombak bagi membolehkan parti rakan yang setia kepada BN menyertainya.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perlembagaan BN yang ada sudah lapuk.

Ini kerana, perlembagaan tersebut antara lain mensyaratkan persetujuan bersama oleh semua parti komponen untuk membenarkan parti lain menyertai BN.

“Yang akan menyertai tujuh parti ini tidak boleh masuk kerana Perlembahaan Barisan Nasional mengikat mereka daripada masuk.

“Kerana syarat jika ada satu pun parti dalam BN yang menolak mana-mana parti yang ingin masuk maka itu tidak boleh dilakukan. Perlembahaan ini mesti dirombak semula.

Orang mahu berkawan, mahu menyertai, mendukung kenapa mesti tolak kerana terikat dengan perlembagaan. Itu perlembagaan lapuk yang harus diketepikan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmin Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Parti Makal Sakti Malaysia yang berlangsung hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti Datuk R. S. Thanenthiran.

Sebelum itu Ahmad Zahir berkata, BN telah menerima permohonan daripada tujuh daripada lapan parti rakan untuk menyertai BN.

Beliau menegaskan, walaupun parti-parti terbabit belum lagi secara sah menganggotai BN tidak bermakna mereka tidak boleh bertanding di bawah logo BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Datuk Seri Thanenthiran, parti teras atau parti gabungan Friends of BN akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum,” katanya memberi janji.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, rombakan Perlembagaan BN selaras dengan penjelamaan semula parti itu yang menjanjikan kesaksamaan kepada semua.

“Kerjasama politik baharu perlu diwujudkan. Perkongsian kuasa mesti direalisasikan. Jangan satu pihak sahaja membolot kuasa. Ini tidak akan mewujudkan kestabilan.

“Ya, saya orang UMNO, saya orang Melayu dan presiden parti Melayu tapi saya tak boleh ketepikan rakan Cina, India, Khadazan di seluruh negara kerana kita adalah masyarakat pelbagai kaum,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette