KUALA LUMPUR – Juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui selamat pagi ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, juruterbang itu dijumpai pada jam 8.20 pagi di lokasi nahas di sekitar Bidor.
“Syukur,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
Katanya, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan.
Artikel berkaitan:Helikopter hilang: Belum ada penemuan setakat ini
TUDM, PDRM sudah berada di lokasi terakhir helikopter hilang
Helikopter dalam penerbangan dari Subang dipercayai hilang di Bidor
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo mengesahkan sebuah helikopter swasta hilang ketika dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Ipoh.
Helikopter jenis Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik Heli Outpost Sdn Bhd.
Menurutnya, sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah merekodkan kehilangannya ketika ketinggian mendadak.
”Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada 1 minit, lantas Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah beliau, pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat. – MalaysiaGazette