Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes ketika bergambar bersama para pemandu cabang e-pangilan Air Asia Ride pada Majlis Industri E-Panggilan Air Asia Ride di Souled Out Hartamas, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setelah lebih setahun beroperasi, AirAsia Ride hari ini mengumumkan akan menawarkan tawaran pekerjaan sepenuh masa kepada semua rakan penghantar makanan, penghantaran dan pemandu e-panggilannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, program pengambilan pemandu sepenuh masa itu akan bermula 1 Oktober depan dan merupakan sebahagian daripada strateginya dalam menarik dan mengekalkan pemandu.

“Kami menyediakan platform dan ramai orang suka apabila kami membuka platform e-panggilan dan kami semestinya membawa pemandu-pemandu baru dalam pasaran tapi kalau ada pemandu-pemandu daripada syarikat e-panggilan lain sudah tentu kita sangat terbuka dengan perkara itu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan AirAsia Ride, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AirAsia Ride, Lim Chiew Shan.

Bermula 1 Oktober depan, pemandu daripada program sedia ada yang layak serta pemandu baharu boleh memilih untuk menyertai program pemandu sepenuh masa yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan asas bulanan sehingga RM3,500.

Ia termasuk faedah petrol, serta berpeluang untuk menjana jumlah pendapatan sehingga RM8,000 dengan tambahan skim insentif pemandu, di samping rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Malah AirAsia Ride juga memberikan perlindungan perubatan termasuk untuk pasangan dan anak-anak, cuti tahunan dan manfaat pelancongan termasuk kadar diskaun kakitangan yang tinggi untuk penerbangan AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes ketika ketika bercakap sidang media pada Majlis Industri E-Panggilan Air Asia Ride di Souled Out Hartamas, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 SEPTEMBER 2022.

Dalam pada itu, Tony berkata, kumpulan itu juga sentiasa memperjuangkan tambang yang berpatutan kepada kedua-dua pemandu dan penumpang serta mempertimbangkan kemampuan penumpang di samping memberi faedah yang setimpal kepada pemandu.

“Dalam sebuah perniagaan e-panggilan, pemandu adalah elemen yang penting dalam operasi.

“Sejak hari pertama kami menubuhkan AirAsia Ride, kebajikan pemandu merupakan keutamaan kami dan kumpulan berbangga untuk terus kekal di hadapan melalui pengumuman ini,” katanya.

Sepanjang setahun penubuhannya, AirAsia Ride telah mencapai dua juta pelanggan.

AirAsia Ride kini beroperasi di 11 lokasi di seluruh Malaysia dan telah melancarkan operasinya di Kota Kinabalu semalam. – MalaysiaGazette