Hishamuddin Hashim (kanan) kecewa dengan tindakan Kedutaan Myanmar yang enggan menerima memorandum berkaitan sindiket pemerdagangan manusia di negara tersebut.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kecewa dengan layanan kedutaan Myanmar yang didakwa tidak mahu menerima memorandum berkaitan sindiket pemerdagangan manusia di negara tersebut.

Ia menyebabkan memorandum itu diletakkan dalam peti surat kedutaan tersebut pada pagi ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, permedangan manusia merupakan perkara serius yang melibatkan nyawa manusia dan pihaknya mempunyai bukti yang diperoleh daripada keluarga mangsa yang merayu supaya mereka diselamatkan.

“Kehadiran kita bukan sahaja tidak dilayan malah pintu juga di tutup. Hanya ada peti surat disediakan untuk kita. Sikap tidak baik.

“Tidak ada seorang pun wakil hadir menerima surat kita, seperti ini sekali layanan oleh pihak Kedutaan terhadap kita? Sedangkan yang menghantar makanan atau perkhidmatan seperti food panda atau grab dibenarkan masuk,” katanya di luar Kedutaan Myanmar, di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau memohon kerajaan Myanmar supaya bersiap lebih demokratik dan meminta Kementerian Luar menegur tindakan Kedutaan Myanmar itu.

Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM),  Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCC), Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan dan Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN) turut menyertai MHO.

Selain itu, lima ahli keluarga mangsa-mangsa yang masih terperangkap di Myanmar selepas tertipu dengan tawaran pekerjaan dalam pelbagai bidang dengan gaji lumayan turut berada di luar kedutaan itu.

Jumaat lalu, MHO dan beberapa MGO menyerahkan memorandum kepada Kementerian Luar Negeri meminta kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, Laos dan Kemboja. -MalaysiaGazette

Cantik jadi pelacur, gempal disuntik jadi kurus atau jual organ