Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) merasmikan cawangan baharu Lulu Hypermarket di EcoHill, Semenyih. Foto MUHD NA'IM, 15 SEPTEMBER 2022.

SEMENYIH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meminta peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 bagi membantu penduduk luar bandar dan pedalaman.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi memastikan Program Community Drumming berjalan lancar untuk menjamin komuniti itu menikmati harga barangan keperluan yang sama seperti di bandar.

“Dalam bajet nanti, KPDNHEP memohon supaya peruntukan lebih diberikan bagi projek Community Drumming iaitu membantu mereka yang duduk jauh di luar bandar dan di mana harga barangan keperluan agak tinggi jika tidak dibantu dalam kos logistik dan pengangkutan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Foto MUHD NA’IM, 15 SEPTEMBER 2022.

Jelas Alexander, kementeriannya cakna kesukaran yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut yang perlu membayar harga jauh lebih tinggi kerana kos logistik akibat laluan mencabar seperti sungai dan jeram.

Program Community Drumming dilaksanakan sejak tahun 2009 atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar dengan memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi.

Ia juga bagi membolehkan komuniti itu dapat membeli tujuh barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung, gas petroleum cecair (LPG), minyak diesel dan petrol Ron 95 dengan harga sama di kawasan bandar atau pekan.

Mengulas lanjut, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit memberi jaminan kementeriannya akan membendung gejala kenaikan harga mendadak di pasaran dengan memanfaatkan peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Dalam Jawatankuasa Khas Jihad ini, kita memang mempunyai peranan besar sebagai kementerian yang terlibat. Seperti sedia maklum, jawatankuasa khas ini lebih kepada memaklumkan kepada rakyat dan pihak industri apakah usaha dan tindakan kerajaan menangani masalah bekalan, harga dan sebagainya.

“Dalam membendung harga barang, ianya memang tugas KPDNHEP memastikan harga berpatutan dan kita membendung gejala harga naik mendadak di mana peniaga mengambil keuntungan yang tidak sepatutnya,” ulasnya.

Sementara itu, Alexander ketika perasmian cawangan baharu Lulu Hypermarket yang kelima di negara adalah pengguna dapat menikmati harga lumayan yang ditawarkan selain ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast