Saiful Zaini Bin Mohd Bokhari meninjau lebih lanjut kerja-kerja semasa sebelum peringkat akhir kerja dijalankan.

KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengambil langkah efektif dengan membuat jajaran paip secara pintasan sepanjang 130 meter bagi membaiki kebocoran paip sedia ada di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di Kuantan sejak minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, langkah berkenaan diambil biarpun menelan kos yang lebih tinggi bagi menjamin proses penyelanggaraan lebih cepat dijalankan berbanding membaik paip sedia ada yang berusia hampir 40 tahun.

“Langkah pengalihan jajaran paip itu dilakukan bagi mengelak penutupan bekalan air kepada pengguna lebih lama,” katanya ketika ditemui semasa melakukan pemantauan kerja-kerja pemasangan paip di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di Kuantan, hari ini.

Jelasnya, Paip akan menetapkan tarikh sesuai untuk menutup sementara bekalan air bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyambungan yang mengambil masa dalam tempoh 48 jam sejurus selesai kerja penyambungan paip pintasan.

Sehubungan itu, pihaknya akan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas menggunakan lori tangki dan tangki statik sepanjang tempoh penutupan bekalan kepada 35,000 akaun pengguna yang terlibat, selain mengambil tindakan dengan memberi notis lebih awal. – MalaysiaGazette