Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penuntut Instiut Pengajian Tinggi (IPT) selepas Majlis Perasmian Semarak Patriotik IPT 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Saranan supaya UMNO menutup pintu rundingan dengan Pas berkaitan 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diserah kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk membuat keputusan.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu, sebarang keputusan berkaitan parti hanya akan ditentukan oleh MKT UMNO.

“Terserah pada MKT…kita dengar pandangan daripada semua pihak, memang macam itu kita jumpa sesiapa sahaja daripada cawangan sesiapa sahaja boleh beri pandangan.

“Akhirnya mesti keputusan parti ia akan ditentukan oleh MKT,” katanya menjawab pertanyaan berhubung saranan ketua-ketua bahagian UMNO yang memutuskan supaya tiada sebarang kerjasama dengan Pas pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata, Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan) akan memaklumkan tarikh baharu untuk mengadakan mesyuarat khas MKT yang ditangguhkan pada Sabtu ini.

Katanya, isu berkaitan saranan terhadap Pas itu mungkin juga boleh dibawa ke dalam mesyuarat berkenan. – MalaysiaGazette