Serangan jantung - Gambar hiasan sumber STROK boleh menyebabkan internet

HAKIKATNYA penyakit strok yang kebiasaanya menyerang warga emas kini tidak mengenal sesiapa terutamanya melibatkan golongan remaja dan dewasa.

Malah terdapat penyelidikan perubatan mendapati, seramai 50,000 pesakit baharu berkaitan strok dikesan saban tahun.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar berkata, penyakit itu merupakan punca ketiga kematian kerana penyakit dalam kalangan rakyat negara ini.

PAKAR Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar

“Terdapat dua jenis strok utama iaitu strok ischemia iaitu darah tidak mengalir ke otak disebabkan penyempitan salur darah ke otak kerana pembekuan darah. Kedua, strok pendarahan disebabkan pembuluh darah pecah.

Transient ischemic attack juga merupakan gejala strok tetapi tidak serius kerana akan pulih kurang daripada 24 jam,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurazam memberitahu, terdapat beberapa tanda awal seseorang dikesan menghadapi gejala strok seperti hilang keseimbangan badan, mata kabur atau penglihatan terganggu, muka senget sebelah, pergerakan tangan yang lemah dan percakapan yang tidak jelas.

“Pesakit mungkin boleh mendapatkan rawatan seperti suntikan ubat cair darah atau pembedahan seperti membuang darah beku atau membaiki salur darah yang pecah namun semua rawatan ini berisiko tinggi dan kos rawatan yang mahal.

MUKA senget sebelah merupakan antara petanda awal seseorang menghadapi gejala strok – Gambar hiasan sumber internet

“Selain itu, prosedur tersebut hanya dijalankan dibeberapa hospital pakar di negara ini yang mempunyai kelengkapan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, strok boleh dicegah dengan berazam mengikuti disiplin tertentu seperti mengamalkan pemilihan makanan yang seimbang, melakukan aktiviti fizikal, mengekalkan berat badan yang unggul, berhenti merokok dan vape selain menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi seseorang mengenalpasti risiko.

“Bagi pesakit strok kawalan gula, darah tinggi dan kolestrol amat penting untuk mencegah strok berulang selam mereka yang mendapat serangan strok semasa usia muda disarankan menjalani rawatan rehabilitasi.

“Fakta menyedihkan yang menunjukkan kira-kira 30 peratus sahaja pesakit boleh pulih dan kembali seperti normal. Jagalah kesihatan anda sebaiknya kerana kesihatan yang baik sesuatu yang ternilai kini,” katanya.

INFO

– Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide pada 2016 melaporkan sebanyak 80 juta orang hidup dengan penyakit strok, dengan hampir 13.7 juta kes baru dan 5.5 juta kematian dicatatkan.

– Kajian Monitoring Stroke Burden in Malaysia pada 2017 melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok berumur bawah 60 tahun.

– Negara kita mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok.

– Pesakit strok dibebani dengan pelbagai morbiditi yang mana 7 daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi menjalani hidup mereka.

– Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide pada 2016 mengunjurkan satu daripada empat penduduk Malaysia akan mengalami strok pada tahun 2040 sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.- MalaysiaGazette